KUCHING: Republik Turki berminat menjalin hubungan dua hala dalam perniagaan bersama Sarawak, menurut Duta Besar Republik Turki Ke Malaysia Emir Salim Yuksel.
Katanya, Turki memberi tumpuan terhadap pembangunan di Sarawak dan melihat potensi negeri ini sebagai rakan kongsi dalam industri perniagaan.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak pagi ini.
Katanya, kunjungan hormat itu bertujuan membincangkan perkembangan semasa berkaitan perdagangan, hal ehwal ekonomi serta hubungan antara ahli perniagaan Turki dan Sarawak.
“Hari ini saya mendapat penghormatan untuk bertemu dengan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan kami membincangkan banyak perkara-perkara yang berbeza.
“Apa yang kami cuba lakukan ialah menjalinkan beberapa hubungan antara ahli perniagaan di Sarawak dan sudah tentu dalam kalangan delegasi kita yang datang dari Turki," katanya.
Tambah beliau, semua orang sedang mencari peluang perniagaan di negara yang berbeza selepas terjejas terus akibat pandemik COVID-19.